Home   Peta Laman   Hubungi Kami
 
 
Situasi Semasa Pandemik H1N1 di Malaysia 2010 Bagi Minggu Epid 09/2010 (28 Februari - 6 Mac 2010)
 

Secara keseluruhannya, dalam tempoh seminggu yang lepas (28 Februari - 6 Mac 2010) terdapat sedikit peningkatan dalam bilangan kes baru dengan simptom Influenza-Like Illness (ILI) yang dirawat di hospital iaitu seramai 297 pesakit baru berbanding 263 kes pada minggu sebelumnya (peningkatan 12.9%). Baki kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara pada hari terakhir minggu epid 09/2010 (6 Mac 2010) adalah sebanyak 358 kes di 40 buah hospital kerajaan dan 4 buah hospital swasta iaitu peningkatan sebanyak 6.9% berbanding minggu sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, 18 pesakit atau 5.0% merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal. Sehingga 6 Mac 2010, jumlah terkumpul kes positif influenza A(H1N1) adalah 12,488. Bilangan kes yang dirawat di ICU adalah seramai empat (4) orang berbanding lapan (8) kes pada minggu sebelumnya. Tiga (3) pesakit yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko. Tiada kematian baru kes H1N1 dan jumlah kematian terkumpul kekal 77 sehingga kini.

Terdapat lima (5) kejadian kluster ILI telah dilaporkan sepanjang minggu lalu dimana tiga (3) berlaku di 3 buah sekolah berasingan iaitu satu di Sekolah Menengah Rasau Kerteh 05, Dungun, Terengganu (melibatkan 4 pelajar), satu di Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Berang, Terengganu (melibatkan 5 pelajar) dan satu lagi di Sekolah Kebangsaan Mak Lagam, Kemaman, Terengganu (melibatkan 5 pelajar)  manakala satu di Kem PLKN Chini, Pekan, Pahang (melibatkan 11 pelatih) dan satu di Kampung Gadak Dalam, Rompin, Pahang (melibatkan 12 penduduk orang asli). Empat daripada kejadian kluster tersebut adalah positif manakala kejadian kluster di  Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Berang, Terengganu adalah negatif untuk Influenza A (H1N1).

Kementerian Kesihatan juga ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada pemantauan kejadian kes-kes klinikal Influenza A(H1N1) serta kluster ILI yang berlaku, masih belum terdapat tanda-tanda berlakunya gelombang kedua. Walaubagaimanapun, risiko atau kemungkinan berlakunya gelombang kedua masih tetap ada kerana masyarakat Malaysia secara amnya masih rentan (“susceptible”) terhadap jangkitan tersebut. Kejadian-kejadian kluster ILI yang masih berterusan berlaku menunjukkan penularan influenza A(H1N1) di negara ini masih lagi aktif walaupun terkawal. Oleh itu masyarakat disaran supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya gelombang kedua dengan sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan  kebersihan diri, mendapatkan rawatan awal dan tidak mengabaikan langkah-langkah pencegahan Influenza A(H1N1) yang telah diumumkan sebelum ini. Mereka yang  di kategorikan sebagai kumpulan sasar berkeutamaan hendaklah segera mendapatkan pelalian sebelum terlambat. Masyarakat juga boleh membantu dengan melaporkan kejadian kluster di kawasan perumahan, sekolah dan tempat kerja ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan Influenza H1N1 serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan web yang tertera di bawah.

Memandangkan kejadian kluster ILI masih dilaporkan berlaku, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan masyarakat agar terus berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1 yang telahpun terbukti berkesan. Langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah:

  1. Bagi mereka yang mengalami demam, batuk dan sakit tekak; dapatkan rawatan dengan segera, tinggal di rumah atau di bilik berasingan dan boleh kembali meneruskan aktiviti harian apabila telah sembuh;

  2. Basuh tangan dengan kerap menggunakan air atau sanitiser, terutamanya selepas batuk atau bersin;

  3. Amalkan adab batuk yang baik iaitu dengan menggunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin.

  4. Pakai penutup hidung dan mulut jika mempunyai tanda-tanda demam selsema seperti demam, batuk dan sakit tekak dan jangan mengunjungi tempat awam untuk elakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain;

  5. Elakkan pergaulan rapat dengan mereka yang bersimptom jangkitan H1N1 atau influenza like-illness(ILI);

  6. Amalkan cara hidup sihat iaitu dengan mengambil diet yang seimbang, kerap bersenam, tidur secukupnya dan minum banyak air.

Di peringkat antarabangsa, penularan jangkitan influenza A(H1N1) masih lagi aktif khususnya di negara-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti di Eropah Timur dan Selatan, Asia Selatan dan Timur, Asia Tenggara serta Utara Afrika. Sehingga 28 Februari 2010, jumlah kematian akibat jangkitan influenza A(H1N1) di seluruh dunia adalah melebihi 16,455 kes, iaitu meningkat sebanyak 229 kes(1.4%) berbanding dengan minggu sebelumnya.

Pemberian suntikan vaksin kepada mereka yang berisiko tinggi  mendapat komplikasi jangkitan influenza A(H1N1) telah bermula. Orang ramai yang di kategorikan sebagai kumpulan sasar berkeutamaan boleh mendapatkan suntikan di 104 fasiliti kesihatan kerajaan yang di kenalpasti. Maklumat lengkap fasiliti kesihatan kerajaan berkenaan boleh diperolehi melalui laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. Memandangkan bekalan vaksin yang terhad, maka pemberian vaksin dilakukan mengikut pendekatan first come, first serve.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

10 Mac 2010

Arkib

Bookmark and Share    

National
Influenza Pandemic
Preparedness
Plan (NIPPP)

MEDIA PENDIDIKAN
PAUTAN