Home   Peta Laman   Hubungi Kami
 
 
PERUTUSAN Y.B. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
 

Salam sejahtera

Terima kasih kerana melayari laman web H1N1 Kementerian Kesihatan Malaysia. Laman web ini diwujudkan untuk memberikan penerangan yang lebih jelas dan terperinci kepada orang awam tentang langkah pencegahan dan kawalan termasuklah Fasa Mitigasi yang telah dan sedang dijalankan oleh pihak Kementerian. Di samping itu laman web ini juga memuatkan berbagai garis panduan dan maklumat yang amat berguna kepada semua lapisan masyarakat sama ada golongan pengamal perubatan, orang awam dan sebagainya. Garis panduan yang dimuatkan ini juga adalah berdasarkan fakta-fakta terkini jangkitan Influenza A(H1N1) yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Garis panduan National Influenza Pandemic Preparedness Plan (NIPPP) adalah merupakan satu pelan kesiapsiagaan bagi menangani Pandemik Influenza. Ia merupakan satu pelan kesiapsiagaan yang komprehensif bagi menghadapi Pandemik Influenza. Pelan ini telah dilancarkan pada awal tahun 2006 dan hasilnya boleh diguna pakai untuk pandemik (H1N1) 2009. Penyediaan pelan ini telah bermula semenjak awal tahun 2003. Satu jawatankuasa yang khusus yang terdiri daripada berbagai bidang kepakaran seperti perubatan, kesihatan awam, virology dan komunikasi risiko telah dilantik untuk membentuk dan menyediakan pelan tersebut. Rujukan-rujukan bagi pelan kesiapsiagaan ini adalah berdasarkan pengalaman wabak-wabak lalu yang berlaku di luar dan dalam negara termasuklah kejadian Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI) yang berlaku di Malaysia pada tahun 2004, 2006 dan 2007. Walau bagaimanapun, semasa penyediaan garis panduan ini pihak Kementerian telah mengambil kira berbagai faktor termasuklah sekiranya kejadian wabak yang berlaku bukannya HPAI. Di samping itu, pelan yang disediakan ini juga adalah berpandukan dan selaras dengan saranan yang telah diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Oleh yang demikian, satu garis panduan yang bersifat umum (generic) dan holistik telah dihasilkan di mana ia bukan sahaja untuk menangani wabak influenza bahkan ia boleh digunakan untuk semua jenis kejadian wabak yang berlaku di Malaysia. Garis panduan yang khusus juga telah dan sedang dikemaskini dari semasa ke semasa untuk menghadapi pandemik (H1N1) 2009. Oleh yang demikian adalah perlu ditegaskan bahawa walaupun kejadian pandemik sekarang bukan lagi HPAI, garis panduan ini adalah amat berguna dan masih bersesuaian untuk digunakan bagi menangani Pandemik Influenza A(H1N1) di negara kita.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia

 

English version
Bookmark and Share      

National
Influenza Pandemic
Preparedness
Plan (NIPPP)

MEDIA PENDIDIKAN
PAUTAN